A Tale To Tell & Remember

I'm very much inspired by the words of Thomas L. Friedman in his book "The World Is Flat" which renders about the influence of bloggers in this new age. I want to keep the highest integrity and honesty in posting my words to the world. This blog act as a testimony to my alacrity of sharing information with the borderless world. Hope we can share a high regards of veracity and chivalry with this blog because that's why it is here. So help me God!

Visit Malaysia

Visit Malaysia
Malaysia Truly Asia

Tuesday, 21 November 2006

Program Angkasawan Negara Hilang Fokus

Program angkasawan yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini adalah merupakan hasil perundingan perjanjian timbal balik pembelian pesawat pejuang Sukhoi-30 MKM antara kerajaan Malaysia dan Rusia. Menerusi perjanjian pembelian ini, kerajaan Rusia bersetuju untuk membiayai kos latihan dan penghantaran angkasawan pertama dari negara ini ke sebuah Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station – ISS) menjelang bulan Oktober tahun 2007.

Program angkasawan ini adalah tanggung jawab penuh Agensi Angkasa Kebangsaan (ANGKASA), yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Innovasi (MOSTI). MOSTI diberikan tanggungjawab penuh untuk memilih calon angkasawan yang akan dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas latihan selama 18 bulan di Rusia.

Dipercayai bahawa dengan adanya program seumpama ini, rakyat Malaysia dan negara akan mendapat faedah di dalam bidang sains dan teknologi. Ini termasuklah perubatan angkasa, sains hayat, sains persekitaran dan sains fizik di mana penyelidik dan saintis tempatan dapat melibatkan diri di dalam eksplorasi dan eksperimen sains di persekitaran angkasa yang unik itu. Berasaskan faedah-faedah yang akan diperolehi oleh penyelidik dan saintis tempatan di dalam bidang yang disebutkan itu tadi maka kerajaan melipat gandakan usaha menjadikan program angkasawan satu realiti.

Walau bagaimanapun beberapa keraguan mula timbul mengenai objektif utama perlaksanaan program angkasawan negara. Antaranya seperti penjelasan yang diberikan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim yang mewakili Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Mengikut jawapan beliau ketika sesi soal jawab di parlimen, sepanjang angkawasan negara berada di ISS antara program yang akan dijalankan adalah bermain gasing dan batu seremban sebagai satu cadangan eksperimen. Tidak cukup dengan itu, cadangan juga timbul untuk angkasawan pertama negara itu mencanting batik di luar atmosfera bumi. Ada juga cadangan sesi menjamah makanan seperti teh tarik dan roti canai di angkasa. Datuk Rohani juga menjelaskan bahawa eksperimen itu dicadangkan untuk mencari jawapan bagi persoalan dunia sains, perubatan, dan penyelidikan. Persoalan di sini yang ingin penulis utarakan adalah; (1) Apakah perkaitan permainan gasing dan batu seremban yang dicadangkan dengan objektif utama program ANGKASA bagi eksplorasi sains dan teknologi serta sains hayat angkasa?, (2) Siapakah yang bertanggung jawab menjadi perunding kepada MOSTI mencadangkan eksperimen bersifat anak-anak dan tiada nilai signifikan kepada perkembangan sains dan tekonologi dan sumbangannya kepada rakyat dan negara?, (3) Tidak bolehkah eksperimen bersifat anak-anak ini dilakukan di pusat latihan angkasawan Russia dan masa berharga yang diperolehi angkasawan Malaysia di ISS digunakan sepenuhnya untuk mencari penemuan-penemuan baru yang lebih signifikan untuk pembangunan program angkasa nasional?

Memang tidak dinafikan bahawa program angkasa Malaysia ini mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan Rusia untuk kos latihan dan kos penghantaran angkasawan ke stesen ISS. Walau bagaimanapun, peluang ini tidak harus dibazirkan untuk dipenuhi dengan program-program yang jelas tidak mendatangkan faedah langsung kepada rakyat Malaysia. Penulis ada juga melawat laman web ANGKASA (http://www.angkasa.gov.my/) untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai program angkasa yang dilancarkan ini. Penulis dapati tiada faedah yang signifikan dan hala tuju yang jelas akan pembangunan program angkasa Malaysia ini melainkan hanya untuk meletakkan angkasawan pertama warganegara Malaysia di stesen ISS. Sebagai contoh, antara soalan yang ditanya di laman web rasmi ANGKASA di dalam ruangan undian (poll) adalah; Apakah jenis buah-buahan tempatan yang sesuai untuk di bawa ke angkasa lepas? A. Rambutan, B. Manggis, C. Durian (sila rujuk laman web ANGKASA). Apakah soalan-soalan begitu wajar di tanya di dalam laman web yang bersifat eksplorasi pembangunan sains dan teknologi itu?

Suka penulis untuk berkongsi di sini ketika mula-mula John F. Kennedy mencadangkan program angkasawan di negara Amerika, beliau ada menulis surat bertarikh 20 April 1961 kepada timbalannya iaitu Lyndon Johnson. Berikut merupakan persoalan yang ditanya oleh beliau di dalam surat tersebut; (1) Adakah kita mempunyai peluang untuk mengalahkan pihak Soviet untuk meletakkan makmal penyelidikan pertama di ruang angkasa? (2) Adakah usaha kita kuat dan adakah kita bekerja 24 jam untuk memastikan program angkasawan kita berjaya? Jika tidak, bolehkan usaha kita dipercepatkan dan berikan saya cadangan untuk mempercepatkan program angkasawan? (3) Di dalam pembinaan alat tujahan enjin (boosters) perlukah kita menekankan penggunaan kuasa nuklear, cecair kimia atau kombinasi ke semua perkara yang disebutkan bagi memastikan ianya (boosters) berjaya? (4) Adakah usaha yang dilakukan pada tahap maksimum untuk mendapat keputusan yang sepatutnya?

Berikut merupakan persoalan yang ditanya oleh seorang pemimpin bagi memastikan sebuah program besar seumpama ANGKASA untuk berjaya. Objektif program angkasa negara perlu dinilai semula bagi memastikan fokus utama program ini tercapai. Cadangan-cadangan yang bersifat ke anak-anakan perlu ditolak bagi memberi laluan kepada eksperimen yang menjurus kepada pembangunan sains dan teknologi mendapat tempat. Eksperimen seperti mengkaji kesan kuasa sifar Graviti serta kesan kepanasan haba 3000 darjah celcius ketika melalui atmosfera bumi perlu diberi ruang berbanding bermain gasing dan batu seremban. Jika untuk memenuhi objektif asal program angkasa negara, eksperimen seperti kesan sinaran ultraviolet, sinaran X, dan sinaran gamma ke atas kulit manusia tanpa perlindungan atmosfera bumi perlu dilakukan. Eksperimen seperti ini jelas memberikan maklumat dan ilmu bagi memenuhi objektif penerokaan perubatan angkasa dan sains hayat yang digariskan di dalam objektif asal program ANGKASA ini.

Penulis berharap agar kerajaan, MOSTI dan ANGKASA menilai semula perlaksanaan program angkasa bagi memastikan program ini tidak hilang fokus utama di dalam pembangunan dan penerokaan perubatan angkasa serta pembangunan sains dan teknologi. Cadangan-cadangan yang tidak mempunyai faedah yang signifikan keatas objektif asal program ini perlulah ditolak bagi memastikan perlaksanaan program angkasa nasional memberikan manfaat kepada semua.

1 comment:

akioneo said...

aku juga tidak setuju dengan cadangan kerajaan yang kelihatan seperti tidak begitu bersungguh2 dengan projek angkasawan ini. Pelik!!!

Faces of Tun Teddy

Faces of Tun Teddy