A Tale To Tell & Remember

I'm very much inspired by the words of Thomas L. Friedman in his book "The World Is Flat" which renders about the influence of bloggers in this new age. I want to keep the highest integrity and honesty in posting my words to the world. This blog act as a testimony to my alacrity of sharing information with the borderless world. Hope we can share a high regards of veracity and chivalry with this blog because that's why it is here. So help me God!

Visit Malaysia

Visit Malaysia
Malaysia Truly Asia

Saturday, 9 August 2008

Siri II - Evolusi Sistem Kapitalis Dalam Sistem Kerajaan Di Malaysia

Kartun Richard Cobden yang memperkenalkan Pasaran Bebas kepada rakyat British pada abad ke 19

Saya cukup memahami kebimbangan sesetengah pihak dikalangan kita jika sistem kapitalis diimplementasikan secara sepenuhnya di Malaysia. Keraguan yang dibangkitkan terhadap sistem ini rata-rata berkaitan isu moral - sesuatu perniagaan akan hanya mengejar keuntungan semata-mata dan ini boleh menimbulkan masalah seperti kenaikan harga sesuatu barangan pada kadar yang tidak munasabah ataupun juga masalah rasuah.

Berdasarkan kepada kebimbangan yang sama juga, sistem kapitalis ini telah mengalami evolusi pada abad ke 21 di mana pengamal sistem ini mula menekankan kepentingan tanggungjawab korporat (corporate responsibility) di dalam pembangunan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Ada juga ahli perniagaan yang berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda menggunakan sistem kapitalis ini untuk memberikan sebahagian keuntungan yang dinikmati ini secara bersama. Sebagai contoh Bill Gates melalui "Bill & Melinda Gates Foundation" telah menyarankan agar sistem kapitalis ini digunakan secara kreatif di dalam memastikan pengagihan kekayaan secara menyeluruh kepada semua pihak.

Tujuan saya menulis email berkaitan sistem kapitalis ini adalah bagi memberikan sedikit maklumat dan memperbetulkan persepsi salah mengenai sistem kapitalis. Saya percaya propaganda yang dibaca dan diulangi sejak dari perang dingin telah membuatkan rata-rata penduduk di negara membangun termasuk Malaysia kurang percaya kepada sistem ini. Saya akan kongsi dua pengalaman pemimpin negara dunia ketiga iaitu pengalaman Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri Singapura) dan Dr. Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri Malaysia) yang juga pada mulanya agak kurang percaya kepada sistem kapitalis ini tetapi akhirnya membuat perubahan kepercayaan ideologi yang besar seterusnya menggunakan sistem ini bagi memodenkan negara masing-masing.

Pengalaman Singapura - Lee Kwan Yew

Setelah Singapura mencapai kemerdekaan dari Malaysia pada tahun 1965, Lee Kwan Yew agak buntu untuk memilih antara sistem ekonomi mana yang perlu diikuti oleh negaranya. Masalah dan tekanan kesatuan sekerja di Singapura pada awal 1960-an adalah tinggi dan union-union ini lebih memihak dan mempercayai ideologi Komunisme/ Komunal yang dipercayai mereka adil, tidak bersifat mengeksploitasi golongan pekerja boleh membawa kesaksamaan kepada semua.

Lee Kwan Yew didalam misi mencari kebenaran kemudian telah melakukan lawatan ke dua buah negara bagi melihat kesan sistem ekonomi berpusat ini. Pada mulanya beliau telah melawat Rusia iaitu ke Moscow. Setelah bertemu pemimpin Rusia ketika itu (Nikita Khruschev), beliau pulang semula ke hotel penginapan dan memesan makanan melalui perkhidmatan ke bilik. Sebagai seorang ketua negara beliau percaya beliau akan diberikan layanan kelas pertama. Makanan kemudian dihantar ke bilik beliau dan setelah selesai makan, beliau telah meninggalkan pinggan dan cawan yang digunakan di atas meja di bilik tersebut untuk diambil semula oleh perkhidmatan mencuci bilik.

Pada keesokkan harinya pinggan mangkuk yang sama didapati masih ada di atas meja dan tidak diusik. Beliau bersiap untuk bermesyuarat kali kedua dan pada waktu petang (selesai bermesyuarat), beliau pulang ke bilik hotel dan terkejut apabila mendapati pinggan mangkuk yang digunakan masih lagi di atas meja seperti semalam. Bilik beliau jika tidak dikemaskan seperti mana beliau menginap di London ataupun di Washington.

Beliau terus menelefon pihak pengurusan hotel dan bertanyakan perkara tersebut. Pengurus hotel menjelaskan bahawa sistem komunis di Soviet Rusia menekankan bahawa penginap perlu mencuci pinggan mangkuk tersebut dan menghantar ke dapur hotel. Penginap juga perlu membersihkan bilik penginapan mereka sendiri. Itu merupakan sistem yang perlu diikuti oleh semua pihak samada pemimpin negara ataupun rakyat biasa di Rusia apabila menginap di hotel. Ia bertujuan untuk mencipta kesaksamaan. Lee Kwan Yew merasakan bahawa jika perkara seumpama diimplementasikan di Singapura, sudah tentu penduduk Singapura akan mempunyai esteem diri yang rendah dan tidak bersemangat untuk bekerja.

Beliau kemudian membuat lawatan ke sebuah negara di Afrika. Pada awal 1950-an lawatan pertama beliau ke negara berkenaan (ketika itu masih dalam jajahan British), beliau dapati pemandangan di jalanan adalah kemas dan cantik. Pada awal 1960-an sekali lagi beliau membuat lawatan ke negara yang sama (negara tersebut mencapai kemerdekaan dan mengguna pakai sistem ekonomi berpusat), beliau terkejut melihat perubahan jalan yang kotor, dipenuhi binatang ternakan dan sangat tidak bersih.

Beliau kemudian pulang ke Singapura dan memutuskan bahawa Singapura akan mengguna pakai sistem ekonomi kapitalis dan beliau berjaya memodenkan Singapura. Lee Kwan Yew menulis bahawa "It's a gamble that I won. I don't know myself which one will work (communism or capitalism)".

Pengalaman Dr. Mahathir Mohamad - Malaysia

Dr. Mahathir pula secara peribadi beliau pernah berkongsi pengalaman beliau mengenai bagaimana sistem komunal ini boleh merendahkan esteem diri seseorang, membosankan sesuatu tugasan dan mengurangkan produktiviti sesebuah negara. Beliau berkongsi pengalaman beliau berkunjung ke negara yang mengamalkan sistem ekonomi berpusat ini.

Pengalaman beliau ke ibu kota utama di negeri di bawah Soviet Rusia samada jika beliau ke St. Petersburg, Moscow ataupun mana-mana ibu negeri di Rusia atau negara Eropah Timur. Jika beliau menginap di salah sebuah hotel di Soviet Rusia dan kemudian beliau ke ibu negeri atau kota lain di Rusia, beliau akan tahu di mana letaknya tandas, bilik mandi, tempat makan, reception ataupun mana-mana bahagian hotel penginapan beliau, walaupun itu merupakan kali pertama beliau ke hotel berkenaan.

Sistem ekonomi berpusat akan menentukan bahawa hotel, pejabat kerajaan, ataupun sesebuah rumah kediaman akan direka dan dibina sama rekabentuk walaupun berbeza tempat - ini bertujuan mewujudkan kesaksamaan bagi semua tanpa mengambil kira perkara utama yang menjadikan sesebuah ekonomi itu berfungsi dengan baik iaitu kehendak pengguna yang sentiasa berubah-ubah dan berbeza antara satu sama lain.

Suka saya untuk meminjam kata-kata Dave Packard (Pengasas Komputer Hawlett Packard -HP)

"Ramai orang mempunyai tanggapan yang salah berkenaan objektif utama sesebuah perniagaan. Pada pendapat mereka, sesebuah perniagaan wujud adalah bagi mendapatkan keuntungan wang ringgit semata-mata. Ini sememangnya penting (keuntungan), tetapi jika diamati dengan lebih mendalam dan mengkaji sebab kewujudan sesebuah perniagaan... masyarakat dan perniagaan itu sendiri wujud bagi membolehkan syarikat itu mencapai keuntungan bersama (antara masyarakat dan perniagaan) - dan membolehkan syarikat berkenaan menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat berkenaan".

Saya melihat kepada perubahan ekonomi dunia yang pesat (samada dari segi perdagangan ataupun bagaimana sesebuah ekonomi berfungsi), menyebabkan peranan Kementerian ini tidak dapat tidak dan terpaksa berubah mengikut perubahan semasa. KERAJAAN akan mengalami perubahan besar daripada berperanan sebagai "gatekeeper" kepada aktiviti perniagaan domestik berubah kepada beberapa peranan yang memerlukan KERAJAAN untuk kurang terlibat secara langsung di dalam aktiviti perniagaan domestik.

Ingin saya kongsi mengenai fakta berkenaan sistem ekonomi berpusat yang dilaksanakan di Soviet Union 20 tahun dahulu yang seakan mirip peranan yang dilakukan oleh KERAJAAN pada masa ini. Umum mengetahui bahawa Kerajaan Soviet Rusia telah menekankan dan percaya bahawa sistem ekonomi berpusat mampu memberikan kebaikan dan kesaksamaan kepada semua pihak. Bagi memastikan ekonomi Rusia berkembang dan memenuhi keperluan pengguna, Kerajaan Soviet pada ketika itu telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Berpusat (State Planning Committee/ di dalam bahasa Rusia Gosplan).

Bagi menguruskan jawatankuasa ini, satu birokrasi diwujudkan dan dinamakan sebagai "gos" yang bermaksud negeri/ milik negara. Salah satunya adalah "Gosnab" yang bertanggung jawab untuk membekalkan bahan mentah kepada pihak industri, "Gostrud" pula berfungsi bagi menetapkan gaji dan peraturan kerja, "Goskomtsen" pula ditubuhkan bagi menetapkan harga sesuatu barangan. Ditengah-tengah jawatankuasa berkenaan adalah Gosplan - yang bertanggung jawab menganalisa, menentukan jenis, kuantiti, dan harga komoditi yang dikeluarkan di setiap kilang dan pusat pengeluaran di 11 zon waktu yang berbeza di seluruh Rusia.

Secara keseluruhan, Gosplan ini mirip kepada peranan KERAJAAN di Malaysia pada masa sekarang. Gosplan bertanggung jawab kepada pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK) Rusia pada ketika itu sebanyak 60 hingga 80 peratus. Apa yang paling penting di dalam sistem Gosplan ini adalah bagaimana ahli ekonomi Rusia pada waktu itu menekankan kepentingan sistem matrik input-output (dari bahan mentah kepada pengeluaran sesebuah produk).

Mereka yang bekerja di Gosplan sangat teliti dan cekap didalam pengiraan matrik input-output dari mula-mula pengeluaran bahan mentah ini dikeluarkan hinggalah kepada penggunaan tenaga buruh sehingga pengeluaran sesuatu produk. Pendek kata, pengiraan dilakukan dengan teliti dan sangat cekap sehingga tiada langsung berlaku penyelewengan di dalam sumber-sumber yang digunakan. Persoalan di sini yang ingin saya bangkitkan - kenapa sistem seumpama masih lagi gagal untuk berkembang dan meningkatkan taraf hidup penduduk Rusia dan memenuhi kehendak bekalan makanan dan keperluan utama penduduk Rusia?

Setelah dikaji semula kegagalan Gosplan di Rusia, di dapati tiadanya unsur dinamik pasaran di dalam sistem Gosplan. Ahli ekonomi dan mereka yang bekerja di Gosplan terlalu menekankan kepentingan pengeluaran produk sehingga mereka tidak sedar bahawa dinamik pasaran adalah faktor utama yang menentukan keberkesanan sesebuah sistem ekonomi. Dinamik pasaran ini adalah perubahan harga dan kehendak pengguna yang sentiasa berubah-ubah. Harga sesuatu barangan pada hari ini belum tentu akan kekal pada keesokkan hari dan begitu juga dengan kuantiti permintaan pengguna yang memerlukan satu sistem ekonomi yang cekap dalam membekalkan keperluan ini. Seperti yang kita tahu bahawa di dalam sistem kerajaan, berlakunya masalah cekap/ tiada kepentingan untuk membekalkan barangan secara cepat dan tiada dinamik reaktif tindakan dalam memastikan bekalan sentiasa dibekalkan pada kuantiti yang cukup dan pada waktu yang tepat. Faktor inilah yang menentukan keberkesanan sistem ekonomi kapitalis di dalam mencipta kekayaan dan menaikkan taraf hidup pengguna di dalam sesebuah negara.

Tanpa mekanisme perubahan harga yang ditentukan oleh pasaran, Gosplan gagal berfungsi sebagai sebuah sistem yang cekap di dalam memenuhi kehendak pengguna di Rusia dan sistem ekonomi terancang dan berpusat Soviet ini tidak berfungsi dengan efektif tanpa maklumbalas harga dan kehendak pengguna yang dinamik di dalam pasaran. Perancang Gosplan juga akhirnya buntu dan tiada input yang tepat untuk menetapkan sejumlah simpanan bagi mencipta situasi pelaburan produktif yang boleh memenuhi kehendah sesebuah populasi yang berubah-rubah dari segi kehendak dan kemahuan.

Berdasarkan kepada pengalaman yang dilalui oleh Gosplan di Soviet Rusia itu, saya berpendapat bahawa Kementerian ini juga perlu berubah dan terpaksa mengubah peranan bagi memastikan pengurusan ekonomi domestik yang cekap di Malaysia. Saya melihat keperluan untuk KERAJAAN berubah kepada beberapa fungsi utama iaitu:

1. Enabler - KERAJAAN perlu berfungsi sebagai sebuah badan yang bersifat membantu kepada pertumbuhan ekonomi domestik. Memudahkan pertumbuhan perniagaan yang membawa keuntungan bukan sahaja kepada individu yang terlibat, malah kepada keseluruhan masyarakat. Ruang-ruang perniagaan yang boleh membawa keuntungan dan mencipta peluang pekerjaan/ keuntungan yang boleh mencipta kecekapan pengeluaran perlu digalakkan seperti - industri perkhidmatan.

Ini memerlukan KERAJAAN sentiasa peka dengan perubahan ekonomi dunia dari masa ke semasa.

2. Mediator - KERAJAAN akan memainkan peranan yang lebih aktif pada masa hadapan sebagai orang tengah (mediator) antara pihak industri dan pengguna. Keperluan pengguna contohnya peralatan/ kemahuan pengguna perlu dipenuhi oleh pihak industri dan KERAJAAN perlu memainkan peranan menyampaikan kehendak ini kepada mereka yang terlibat di dalam aktiviti perniagaan yang terlibat.

3. Crisis manager - KERAJAAN akan memainkan peranan yang sangat aktif di dalam aspek pengurusan krisis yang melibatkan isu perniagaan/ perbekalan dan perdagangan dalam negeri. Perubahan pesat dek penggunaan IT akan menyebabkan reaksi pengguna yang sangat reaktif terhadap sesuatu barangan/ produk keperluan. Harga sesuatu barangan pada hari ini akan menjadi sudah tidak relevan pada keesokkan hari dan ini mungkin menyebabkan berlakunya krisis sesuatu bekalan dan atau inflasi yang tinggi.

Di dalam aspek pengurusan krisis, peranan KERAJAAN akan terhad kepada mengembalikan situasi kepada keadaan status quo (sebelum krisis berlaku) dan bukan kepada menyelesaikan masalah tersebut secara keseluruhan.

Keadaan ekonomi dunia akan mengalami perubahan yang pesat pada masa akan datang. Ini merupakan cabaran yang cukup besar untuk KERAJAAN tempuhi dalam masa 10 tahun akan datang. Saya pasti jika kita sentiasa awas terhadap perubahan ini, peranan KERAJAAN akan dapat dilakukan tanpa memerlukan bantuan konsultasi daripada pihak luar. Samada KERAJAAN berjaya atau tidak di dalam tanggung jawab baru ini adalah terpulang kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menerima perubahan tersebut.

Selamat berjaya! :-)

AHMAD SYAH EJAZ BIN HJ. ISMAIL

No comments:

Faces of Tun Teddy

Faces of Tun Teddy