A Tale To Tell & Remember

I'm very much inspired by the words of Thomas L. Friedman in his book "The World Is Flat" which renders about the influence of bloggers in this new age. I want to keep the highest integrity and honesty in posting my words to the world. This blog act as a testimony to my alacrity of sharing information with the borderless world. Hope we can share a high regards of veracity and chivalry with this blog because that's why it is here. So help me God!

Visit Malaysia

Visit Malaysia
Malaysia Truly Asia

Thursday, 18 December 2008

Meningkatkan Ketahanan Ekonomi Domestik Dalam Mengharungi Kemelesetan Ekonomi Global Pada Tahun 2009

Oleh: Ahmad Syah Ejaz Bin Hj. Ismail


Kesan kemelesetan ekonomi dunia


Sudah terang lagi bersuluh bahawa dunia sedang dihimpit situasi ekonomi yang sukar apabila kebanyakkan negara maju telah mengistiharkan secara terbuka bahawa ekonomi mereka berada dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang serius. Kemelesetan yang pada mulanya berpunca daripada akibat kecuaian bank-bank perdagangan Amerika Syarikat dalam menawarkan produk berbentuk derivatives pelaburan hartanah kepada pengguna secara tidak bermerit dikhuatiri akan menyebabkan suasana ekonomi global beku berikutan arus globalisasi kebergantungan pasaran. Pengumuman kemelesetan yang diwar-warkan ini sudah tentunya tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, tetapi setelah majlis ekonomi negara-negara maju tersebut mengambil kira beberapa petunjuk ekonomi asas seperti peningkatan kadar pengangguran, penurunan produktiviti industri domestik negara masing-masing, pengurangan perbelanjaan pengguna dalam negara serta penurunan Keluaran Negara Kasar yang dicatatkan mengalami penurunan yang serius di dalam pasaran secara keseluruhannya.

 

Kesan negatif ini dijangkakan menjadi bertambah buruk apabila keadaan pasaran global semasa yang menyaksikan kebergantungan erat antara negara-negara membangun dengan negara-negara maju dimana timbal balik perhubungan perdagangan antara negara membangun sebagai pengeluar dan negara maju sebagai pelanggan berimpak besar. Globalisasi pasaran yang terjalin ini bakal menjanjikan kesan berantai apabila negara yang terikat melalui perjanjian perdagangan ini tidak mampu membayar kredit bagi mendapatkan produk-produk yang dipesan dari kalangan negara pengeluar seterusnya menyebabkan industri tidak dapat menjual produk barangan mereka lalu berlakulah masalah pengangguran meruncing terutamanya disektor pengeluaran termasuk negara Malaysia.

 

Kebergantungan perdagangan ini telah menyaksikan negara-negara yang sebelum ini menjadi pelanggan kepada barangan eksport kompetitif luaran tidak mampu membayar dagangan yang dilakukan dan ini dibuktikan apabila Baltic Dry Index yang digunakan di dalam menentukan kos pengangkutan kapal-kapal dagang telah mencatatkan penurunan yang signifikan iaitu sebanyak 89 peratus. Pihak pengeluar utama barangan kepenggunaan seperti syarikat kenderaan pula telah mula merangka strategi seperti  pengumuman pemberhentian pekerja secara besar-besaran dalam usaha mereka untuk mengurangkan kos pengeluaran di dalam jangkaan pengurangan kredit yang bakal dilakukan oleh bank-bank utama kepada pihak industri di dalam usaha memastikan keyakinan pemegang saham akan keupayaan kredit bank-bank ini sendiri dalam mengharungi kemelesetan ekonomi global. Situasi yang digelar sebagai credit crunch ini memburukkan lagi keadaan pasaran terutamanya bagi mereka yang terlibat secara langsung di dalam bidang perniagaan apabila jumlah aliran modal di dalam pasaran secara keseluruhan dijangkakan berkurangan akibat dibekukan oleh bank-bank pelaburan utama dunia dan ini menyebabkan pasaran menjadi kurang produktif didalam usaha inovasi produk dan pengembangan aktiviti perniagaan seperti promosi pasaran seterusnya melembapkan aliran modal bagi kegunaan pertumbuhan ekonomi samada dalaman dan luaran pada pasa hadapan.

 

Kepentingan pemahaman mengenai krisis di kalangan rakyat Malaysia

 

Rakyat Malaysia perlu memahami dengan mendalam akan kesan buruk kemelesetan ekonomi global yang sedang melanda kerana jika krisis ini tidak ditangani dengan serius dan diurus dengan berkesan, apa yang berlaku ini bakal menyaksikan perubahan yang signifikan kepada pola perbelanjaan harian pengguna di Malaysia khususnya dari segi sosio-ekonomi. Walaupun harga minyak mentah dunia telah mencatatkan penurunan sebanyak 73% sejak melepasi harga tertinggi iaitu sebanyak U.S. 149 Dollar se tong pada bulan Julai 2008 kepada U.S. 40 Dollar se tong pada bulan Disember 2008 berikutan kurangnya permintaan daripada Amerika Syarikat yang sedang dilanda kemelesetan ekonomi pada ketika ini, dunia tetap bakal mengharungi satu waktu yang sukar dari sudut pertumbuhan ekonomi dek kurangnya permintaan dari dalam dan luar negara terhadap sesuatu produk atau usaha perniagaan.

 

Aspek pengurusan krisis yang perlu diguna pakai pada tahun 2008 ini adalah amat berbeza dengan krisis ekonomi yang dihadapi oleh negara pada tahun 1997 kerana pada tahun 1997, negara yang mengalami kemelesetan ekonomi hanyalah terdiri daripada negara-negara Asia rantau Pasifik seperti negara-negara Asia Tenggara, Korea Selatan, Hong Kong dan Jepun. Situasi ini berbeza sama sekali ini dapat dilihat apabila krisis ekonomi 2008 sebaliknya bermula dari Amerika Syarikat kemudiannya beralih kepada negara-negara rakan dagangan berdagang secara langsung dan tidak langsung dengannya termasuk negara-negara Kesatuan Eropah, Asia Tengah, dan negara-negara yang terletak di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia. Justeru pendekatan yang perlu diambil adalah berbeza dan perlu lebih drastik dan radikal dalam memastikan ketahanan ekonomi domestik yang kukuh di dalam menghadapi volume impak yang lebih besar dari krisis yang dialami pada tahun 1997.

 

Di dalam situasi bank-bank perdagangan mengurangkan kecairan modal di dalam pasaran, serta pihak industri mengambil langkah berjaga-jaga di dalam memastikan modal syarikat masing-masing mencukupi dalam mengekang panik di kalangan pemegang saham syarikat mereka, eksport komoditi utama dari negara seperti kelapa sawit dan getah telah mengalami penurunan yang teruk seterusnya menimbulkan ancaman pengurangan produktiviti dan pertumbuhan perdagangan berkaitan. Situasi ini berbeza sama sekali dengan krisis ekonomi 1997, kerana pada tahun tersebut eksport komoditi utama negara adalah tidak terjejas sama sekali dan negara masih mendapat permintaan tinggi dari negara-negara pelanggan di dalam memastikan aliran modal yang kuat di dalam pasaran domestik dalam menjanakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

 

Namun apa yang berlaku pada tahun 2008 ini adalah sebaliknya apabila negara-negara pelanggan telah mengurangkan jumlah dagangan mereka dengan Malaysia. Situasi ini bertambah buruk apabila permintaan eksport barangan elektronik yang dikeluarkan di dalam negara seperti bahan semi konduktor dan cip-cip elektronik untuk produk berteknologi tinggi yang pada sebelum ini mendapat permintaan tinggi dari syarikat multinasional luar negara juga telah mengalami penurunan yang serius. Keadaan ini telah mengakibatkan keadaan pasaran yang tidak rancak berikutan syarikat-syarikat multinasional ini mula berada pada mod pengurusan krisis dan bersifat pasif bertujuan hanya untuk mengekang kesan krisis yang berlaku dengan memastikan modal mereka mencukupi bagi mengharungi satu tempoh waktu yang sukar di dalam pasaran global terutamanya untuk tempoh tiga tahun pertama yang mendatang.

 

Keperluan untuk pertumbuhan ekonomi domestik

 

Hakikat pahit tetapi benar yang perlu diterima oleh rakyat Malaysia adalah keperluan untuk mereka berkorban di dalam menghadapi kesan kemelesetan ini dan bukan meletakkan tanggung jawab ini di bahu kerajaan semata-mata. Pengguna domestik perlu untuk sama-sama memikul sedikit beban inflasi yang perlu ada dan akan timbul dalam memastikan kerancakkan pertumbuhan ekonomi domestik sebagai pilihan untuk mencipta permintaan dalam negara. Inflasi yang terkawal ini adalah perlu sebagai petunjuk berkesan dalam membuktikan keadaan ekonomi domestik negara masih lagi baik, kompetitif dan menarik serta keadaan ini adalah penting dalam menstabilkan aliran pusing modal dalam negara yang sebelum ini menguncup akibat credit crunch yang berlaku.

 

Di dalam keadaan pasaran ekonomi global yang lembap, kerajaan perlu memastikan daya tahan ekonomi domestik yang mapan melalui permintaan barangan atau perkhidmatan yang digerakkan menggunakan dana kerajaan bagi memastikan peluang pekerjaan sentiasa wujud sekurang-kurangnya melalui pertumbuhan domestik dalam negara. Permintaan ini akan membantu untuk menstabilkan situasi pasaran dengan bukan sahaja memberikan keperluan yang sah untuk suntikan modal malah sebagai penggalak inovasi produk permintaan pengguna seperti usaha pemasaran produk tersebut dalam memastikan kerancakkan suasana pasaran melalui pertumbuhan ekonomi domestik dalam negara. Melalui cara ini, kemelesetan global yang berlaku akan berada pada tahap terkawal dengan menggantikan permintaan luar kepada barangan atau perkhidmatan dengan permintaan dalaman yang mampu dijanakan melalui kuasa beli pengguna yang terdiri daripada golongan ekonomi pertengahan di Malaysia. Jika ini usaha ini tidak dilakukan, masalah pengangguran akan menjadi semakin buruk akibat penstrukturan semula perbelanjaan modal syarikat-syarikat swasta melalui tindakan pemberhentian pekerja secara besar-besaran atau pemotongan gaji bulanan dalam usaha pihak swasta mengekang kerugian dan pengurangan produktiviti akibat kurangnya permintaan global atau kerancakkan pasaran terhadap sesuatu produk.

 

Keynesian kompak

 

Polisi ekonomi yang berkesan dalam memastikan permintaan domestik yang mapan boleh dilakukan melalui prinsip Keynesian kompak apabila perbelanjaan kerajaan dilakukan secara besar-besaran melalui pakej rangsangan ekonomi terutamanya dari sektor infrastruktur atau galakkan pertumbuhan industri perkhidmatan yang mampu memastikan kecairan modal yang tinggi sekurang-kurangnya di dalam pasaran domestik untuk mengharungi tempoh waktu yang sukar apabila kemelesetan ekonomi global berada pada tahap puncak menjelang pertengahan 2009 hingga pertengahan 2010.

 

Pakej rangsangan yang perlu diumumkan dalam senario ekonomi global yang lembap ini perlu bertindak sebagai lonjakan pertumbuhan ekonomi domestik bagi memastikan pusingan modal tidak berhenti di dalam pasaran serta peluang pekerjaan dicipta bagi mengekang masalah pengangguran yang meruncing pada tahun 2009 dan 2010. Pertumbuhan ekonomi domestik ini juga boleh dilakukan melalui pelbagai cara seperti pengenalan insentif kewangan kepada pelabur asing atau domestik yang ingin melabur di dalam industri yang menawarkan perkhidmatan kepada golongan ekonomi pertengahan di dalam negara. Insentif ini boleh berupa pengecualian cukai seratus peratus untuk satu tempoh tertentu atau bantuan teknikal dari pihak kerajaan atau juga berupa kadar faedah yang rendah pada tahap sifar bagi pinjaman untuk pelaburan perniagaan. Insentif ini adalah perlu bagi memastikan daya saing swasta tegar di dalam keadaan permintaan global suram serta memastikan aliran modal yang tinggi di dalam sesebuah pasaran. Selain daripada itu pembatalan hutang mikro kepada pihak pengusaha industri kecil dan sederhana juga boleh dilakukan bertujuan memastikan daya saing yang tinggi dan ketahanan modal yang besar di kalangan pengusaha tempatan dalam mengharungi kemelesetan yang berlaku.

 

Kerajaan juga perlu menstrukturkan semula perbelanjaan jaringan sosial tidak perlu seperti pengurangan subsidi bagi produk-produk atau barangan keperluan pengguna yang pada masa ini banyak digunakan oleh golongan ekonomi pertengahan di Malaysia. Usaha ini adalah perlu dalam usaha perbelanjaan wang kerajaan secara berhemah seterusnya menggunakan dana tersebut kepada berimpak tinggi seperti implementasi projek-projek infrastruktur atau prasarana perlu seperti pembinaan jambatan, sekolah, jaringan keretapi elektrik dan penyelenggaran jalan-jalan kampung, lampu-lampu jalan, pembinaan parit atau projek mendalamkan sungai atau juga pembinaan dan penyelenggaraan bangunan kerajaan yang mampu memastikan kecairan modal yang tinggi dan aliran pusing modal yang mantap di dalam pasaran domestik Malaysia. Usaha ini juga pasti akan mencipta peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung mereka yang terlibat di dalam pakej rangsangan ekonomi ini.

 

Dalam usaha untuk memastikan permintaan domestik tinggi dan pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil pada waktu-waktu yang sukar ini, kerajaan perlu untuk mengawal deflasi barangan kepenggunaan masyarakat ekonomi kelas pertengahan kerana pengekalan harga barangan pada kadar yang kompetitif akan memberikan petunjuk tepat bagi tarikan peluang pelaburan sesuatu usaha perniagaan serta memastikan modal pusing yang tinggi dalam inovasi dan pasaran sesebuah produk. Usaha ini akan mencipta peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada mereka yang mahu berusaha membaiki taraf hidup pada ketika suasana ekonomi yang suram ini.

 

Walaupun terdapat cadangan untuk kerajaan mengambil jalan mudah dengan mencetak wang Ringgit pada kadar yang banyak dan wang ini kemudian disuntik ke dalam pasaran domestik melalui gaji atau pemberian bonus kakitangan awam, cadangan ini adalah tidak sesuai kerana ia akan mencetuskan masalah inflasi secara langsung pada kadar yang tidak terkawal seperti yang berlaku di Argentina dan Brazil pada pertengahan 1990-an yang ketika itu berada pada tahap 700%. Fakta ini disokong oleh psikologi konsumerisme pengguna di Malaysia yang kurang berdisiplin di dalam mengawal perbelanjaan harian mereka seperti kurangnya impak permintaan terhadap barangan kepenggunaan yang menjimatkan elektrik ketika negara menghadapi masalah krisis tenaga apabila harga minyak mentah berada pada kadar yang tinggi pada bulan Julai 2008.

 

Pengurusan krisis dalam memastikan ketahanan ekonomi domestik yang mapan

 

Krisis kewangan yang berlaku ini perlu diuruskan secara holistik, radikal dan berkesan melalui perbelanjaan kerajaan dan kaedah fiskal ini perlulah mempunyai impak yang besar. Jika krisis ini diuruskan dengan baik, negara hanya akan mengharungi sekurang-kurangnya tiga tahun tempoh waktu ekonomi yang sukar bermula awal tahun 2009. Namun jika krisis ekonomi ini tidak diuruskan dengan baik, cekap dan berkesan, negara bakal berada dalam keadaan ketidaktentuan pasaran untuk satu tempoh yang panjang dan berkemungkinan pengguna di Malaysia akan berada pada situasi keberhutangan yang serius untuk satu tempoh yang lama. Krisis ini juga bakal menjadi penghalang terbesar kepada usaha Malaysia untuk mencapai visi Wawasan 2020 seperti yang telah digariskan sebelum ini.

 

Rujukan:-

 

The Return of Depression Economics and The Crisis of 2008, Paul Krugman, W. W. Norton & Company Ltd. 2009.

No comments:

Faces of Tun Teddy

Faces of Tun Teddy