A Tale To Tell & Remember

I'm very much inspired by the words of Thomas L. Friedman in his book "The World Is Flat" which renders about the influence of bloggers in this new age. I want to keep the highest integrity and honesty in posting my words to the world. This blog act as a testimony to my alacrity of sharing information with the borderless world. Hope we can share a high regards of veracity and chivalry with this blog because that's why it is here. So help me God!

Visit Malaysia

Visit Malaysia
Malaysia Truly Asia

Wednesday, 27 July 2011

Perangi fahaman Komunis habis-habisan


Tunku Abdul Rahman melawat anggota keselamatan di Kuala Medang, Pahang sekitar 1950an
Oleh: Ahmad Syah Ejaz Bin Hj. Ismail

1.      Sejak kebelakangan ini diperhatikan wujud seakan satu pakatan tersusun daripada pihak-pihak tertentu yang cuba untuk mengubah sejarah perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara dengan meletakkan tokoh-tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) sebaris dengan perjuangan negarawan tanah air. Usaha halus yang bertopengkan kepada kebebasan bersuara dan demokrasi hak asasi manusia ini jelas mengutarakan fakta-fakta yang sengaja diseleweng dengan niat merubah sejarah terkutuk perjuangan PKM yang hakikatnya banyak mengorbankan nyawa orang yang tidak berdosa sehinggakan fakta penipuan yang dibuat-buat digambarkan sebagai sebuah fakta sebenar yang harus diterima oleh masyarakat moden Malaysia.

2.      Umum mengetahui, selama berdekad lamanya terlalu banyak kesengsaraan dan kematian yang direkodkan baik dari pasukan keselamatan mahupun orang awam yang tidak berdosa akibat daripada keganasan PKM. Mungkin ramai tidak mengetahui fakta sebenar, tetapi hakikatnya suku kaum Cina di Tanah Melayu pada ketika itu adalah yang paling ramai menjadi mangsa kekejaman PKM. Pada era perang dunia kedua, kebanyakan suku kaum Cina di Tanah Melayu memilih untuk mendiami kawasan pinggir hutan bertujuan melarikan diri daripada pemerintahan Jepun yang kejam terhadap kaum Cina. Selepas perang tamat, demografi penduduk ini kekal dan PKM dengan mengambil kira bahawa sokongan kaum Cina yang mendiami pinggir hutan adalah penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan mereka di hutan, tidak teragak-agak untuk menyeksa dan membunuh kaum ini yang enggan membantu atau membekalkan maklumat dan bekalan makanan kepada pengganas PKM. Tun Tan Cheng Lock sendiri pernah cuba dibunuh dengan dilemparkan bom tangan sewaktu beliau bermesyuarat di Ipoh, Perak awal tahun 1950an. Tindakan ini dilakukan kerana Komunis khuatir akan kejayaan kerjasama Sino-Melayu pada ketika itu dalam menuntut kemerdekaan daripada British bakal menenggelamkan perjuangan PKM yang sia-sia.

3.      Justeru, tidak hairanlah insiden keganasan Komunis pada Darurat pertama (1948-1960) banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi kaum Cina yang ramai seperti Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di negeri yang penduduknya bermajoritikan kaum Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu. Kekejaman tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh PKM terhadap kaum Cina ini direkodkan oleh pasukan keselamatan dan disaksikan oleh pekerja-pekerja estet secara langsung dengan mata dan kepala mereka apa yang berlaku. Melalui rekod-rekod laporan, mangsa-mangsa dari suku kaum Cina diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan yang lebih teruk dibuat kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM (dari kalangan guru, profesional dan ahli perniagaan). Kaum lelaki diseksa dengan dipotong anggota badan mereka dihadapan ahli keluarga sendiri dengan menggunakan peralatan seperti cangkul atau parang berbanding senjatapi kerana pengganas Komunis khuatir pasukan keselamatan Home Guarddan Gurkha yang ditempatkan di kawasan berdekatan akan bergegas menyiasat apa yang berlaku dek bunyi tembakan senjatapi. Ada juga direkodkan bahawa pengganas Komunis bertindak mengeluarkan isi perut ataupun organ hati mangsa lalu memaksa ahli keluarga ataupun isteri mangsa meletakkan organ ini di atas bara api. Selalunya mangsa yang diseksa dengan dipotong anggota badan ini dibiarkan mati terseksa dihadapan anggota keluarga mereka dan pekerja-pekerja estet dibiarkan menyaksikan tragedi malang ini sebagai peringatan akan akibat buruk yang bakal menimpa mereka jika enggan bekerjasama dengan PKM.

4.      Penyeksaan ini tidak terhenti ke atas orang dewasa sahaja dan ada waktunya kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman pengganas Komunis seperti yang berlaku di Estet Kamuning, Perak pada tahun 1948 apabila mereka bertindak menyalib seorang kanak-kanak di atas sebatang kayu. Mungkin juga ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan sekumpulan Komunis berbangsa Tamil yang diketuai oleh pemuda bernama Perumal yang kerap mengganggu keamanan pekerja estet dari kalangan suku Kaum India di kawasan Sg. Siput dan Ipoh, Perak awal tahun 1950an. Pada ketika itu, kaum India banyak mengisi jawatan sebagai kerani di ladang-ladang getah serta turut bekerja sebagai penoreh getah. Pelbagai jenis seksaan dilakukan ke atas kaum India di Perak oleh kumpulan Perumal antaranya mengikat mangsa di pokok getah dan menyeksa mereka sehingga mati dan ada mangsa yang dipotong jari-jemari kerana mereka bertegas untuk kekal bekerja di ladang-ladang getah walaupun diberi amaran keras oleh Perumal.

5.      Semua kekejaman ini dilakukan di atas nama perjuangan Marxist Communism kononnya sebuah perjuangan yang memperjuangkan hak kesemarataan tanpa perbezaan kelas. Mungkin fakta-fakta dan rekod-rekod kekejaman di atas sukar untuk diterima akal oleh masyarakat bertamadun di Malaysia pada hari ini, namun hakikatnya perkara tersebut benar-benar berlaku dan direkodkan oleh pasukan keselamatan sebagai fakta kes. Secara keseluruhannya semua lapisan rakyat Malaysia pada ketika itu tanpa mengira kaum dan agama berasa tidak aman diancam oleh keganasan PKM setiap hari. Mereka berasa tidak selamat menaiki kenderaan awam seperti bas dan keretapi kerana khuatir disabotaj oleh pihak Komunis dan rakyat turut berasa tidak selamat menaiki kenderaan sendiri menyusuri jalan raya kerana risau diserang hendap oleh pengganas Komunis yang mencari mangsa tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan agama kerana terlalu ingin merampas pakaian, makanan dan kad pengenalan kepunyaan orang awam bagi tujuan subversif.  

6.      Pada hari ini terdapat juga dakwaan yang berani daripada mereka yang buta sejarah dengan menyatakan bahawa kemerdekaan yang diperolehi oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 adalah bukan kemerdekaan sepenuhnya dan golongan ini turut mendakwa jika bukan disebabkan oleh perjuangan PKM, maka amatlah sukar untuk British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Fakta ini diseleweng bertujuan untuk menutup perjuangan sia-sia di hutan oleh PKM. Pada hakikatnya Tanah Melayu ketika itu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan bukan setelah ancaman Komunis dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1960. Ini jelas menunjukkan bahawa British yakin dengan kepimpinan Tunku yang dilihat mampu membawa kestabilan yang berkekalan kepada Tanah Melayu serta rantau Asia Tenggara walaupun British pada ketika itu turut diancam oleh teori domino di Indochina. Ini membuktikan betapa masalah keganasan Komunis bukanlah satu faktor mengapa British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu lebih awal dari jangkaan sebenar iaitu pada tahun 1960. Mengikut rekod, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British yang dilantik oleh Winston Churchill, Perdana Menteri Britain pada ketika itu telah diberikan mandat seawal tahun 1952 bahawa adalah menjadi satu polisi Kerajaan Kolonial British bahawa Tanah Melayu akan diberikan kemerdekaan dan hak memerintah sendiri seawal tahun 1960. Jika bukan disebabkan oleh pengorbanan orang awam menggadaikan barang kemas dan menderma wang ringgit mereka sendiri, delegasi Tunku Abdul Rahman tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menghadiri perbincangan Kemerdekaan ke London bersama wakil-wakil dari MCA dan MIC.

7.      Hakikatnya yang lebih jelas pada 28-29 Disember 1955, sewaktu rundingan Baling diadakan, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ketika itu secara jelas menyatakan bahawa sekiranya kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman berjaya mencapai kemerdekaan daripada British, PKM akan tetap meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan Tunku yang dipilih oleh rakyat kerana Chin Peng melihat tiada ruang untuk kerjasama wujud antara parti Komunis dan Parti Pemerintah (sistem Komunis adalah sistem satu parti memerintah). Sewaktu rundingan diadakan, Tunku berkali-kali menawarkan pengampunan kepada anggota PKM untuk meletakkan senjata dan menjadi anggota masyarakat yang sama-sama membangunkan negara yang bakal merdeka. Peristiwa ini direkodkan pada hari kedua rundingan dimana Tunku meminta Chin Peng agar memikirkan nasib 7 juta penduduk Tanah Melayu ketika itu yang akan menerima kesan buruk akibat perjuangan bersenjata 3,000 anggota Komunis yang sedang aktif di hutan. Chin Peng sekali lagi menolak tawaran ini berikutan dia terlalu taksub dengan kejayaan Parti Komunis di China tanpa mengambil kira perbezaan situasi politik di Tanah Melayu. Rundingan Baling ini walaupun gagal namun akan tetap terus kekal di dalam lipatan sejarah sebagai bukti yang cukup jelas akan pendirian perjuangan Komunis yang sia-sia dan menyimpang dari perjuangan kemerdekaan hakikat ini tidak akan dapat dipadam sampai bila-bila oleh sesiapa sekalipun. Jika diteliti rekod tulisan Chin Peng melalui memoirnya bertajuk My Side of Story, jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pendirian yang jelas berkenaan objektif perjuangan PKM di Tanah Melayu dan hanya lebih beremosi terikut-ikutkan situasi yang berlaku di negara China di bawah Mao Zedong pada ketika itu.

8.      Generasi muda harus sentiasa diingatkan bahawa terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan di dalam menghapuskan kegiatan Komunis pada Darurat pertama. Seramai 8,850 orang anggota keselamatan yang terkorban dan cedera dari tahun 1948-1960 dan seramai 4,468 orang awam yang turut menjadi mangsa kekejaman Komunis ini sepanjang Darurat pertama. Manakala pada Darurat kedua (1971-1989), negara kehilangan ramai tokoh-tokoh yang banyak berjasa seperti Tan Sri Abdul Rahman Hashim bekas Ketua Polis Negara yang dibunuh oleh pasukan khas Komunis di Kuala Lumpur pada tahun 1974 dan Tan Sri Khoo Chong Kong bekas Ketua Polis Negeri Perak yang dibunuh pengganas Komunis pada tahun 1975. Sepanjang perjuangan menentang keganasan Komunis, ramai anggota pasukan keselamatan yang majoritinya terdiri daripada orang-orang Melayu terkorban dan ramai juga di antara mereka yang mengalami cacat anggota. Terbaru, sebanyak 21 rangka pejuang dari kaum Iban yang terkorban menentang Komunis pada era darurat dan mereka dibawa pulang ke Sarawak oleh Kerajaan Malaysia dari serata pelusuk tanah air termasuk Singapura adalah peringatan jelas akan pengorbanan yang terpaksa dibuat oleh anggota pasukan keselamatan tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan negara dalam menentang musuh yang satu. Sesungguhnya pengorbanan yang dilakukan oleh mereka ini tidak pernah diminta sebarang balasan dan mereka hanya menjalankan tanggung jawab demi tugas dan semangat cintakan tanah air. Tetapi pada hari ini terdapat segelintir rakyat Malaysia yang begitu berani memperjuangkan fahaman Komunis sekaligus menghina perjuangan pahlawan-pahlawan negara yang telah terkorban mempertahankan tanah air dari ancaman PKM. Tambahan, amat pelik sekali jika difikirkan bagaimana orang Melayu pada hari ini turut begitu berani menyokong perjuangan Komunis yang jelas menentang kewujudan Tuhan dan bersifat anti-agama.

9.      Tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba mengagung-agungkan perjuangan Komunis tanpa menilai jerih-perit pengorbanan generasi terdahulu akan hanya menghina ingatan kita terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan. Golongan ini akan cuba berselindung disebalik suara demokrasi, hak asasi manusia dan bertopengkan hak rakyat walhal hakikat sebenar adalah untuk kembali membangkitkan sebuah perjuangan yang sia-sia dan tiada hala tuju. Rakyat Malaysia perlulah berhati-hati dengan cubaan pihak-pihak berniat jahat ini yang cuba mengubah sejarah dengan menyeleweng fakta bagi memenuhi objektif peribadi. Fahaman Komunis ini harus ditentang dan diperangi habis-habisan bagi menjaga dan memulihara kestabilan dan keamanan negara yang kita cintai ini.

1 comment:

John F Seademon said...

Interesting blog, saudara. Do visit mine.

Faces of Tun Teddy

Faces of Tun Teddy