A Tale To Tell & Remember

I'm very much inspired by the words of Thomas L. Friedman in his book "The World Is Flat" which renders about the influence of bloggers in this new age. I want to keep the highest integrity and honesty in posting my words to the world. This blog act as a testimony to my alacrity of sharing information with the borderless world. Hope we can share a high regards of veracity and chivalry with this blog because that's why it is here. So help me God!

Visit Malaysia

Visit Malaysia
Malaysia Truly Asia

Tuesday, 19 June 2012

TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA KE ARAH BERPENDAPATAN TINGGI


Oleh: Ahmad Syah Ejaz Bin Hj Ismail

Teddy in Awana Porto Malai, Langkawi - still remains to be one of the most potential place in Malaysia to be explore and develop
1.         Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke empat, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad melalui Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) pada tahun 1991 adalah pada jarak capaian masa yang sangat singkat iaitu lapan tahun lagi. Namun sasaran dan pencapaian yang digariskan ketika mula-mula ianya diperkenalkan masih belum menampakkan hasil yang tuntas dan boleh dibanggakan. Jika ditanya kepada rakyat Malaysia termasuk Tun Dr. Mahathir sendiri, apakah pencapaian ini mampu digapai menjelang tahun 2020, rata-rata semua agak kritikal terhadap keupayaan negara untuk mengharungi sembilan cabaran utama yang digariskan di dalam wawasan tersebut. Apakah terdapat kelemahan ataupun kekurangan daripada sudut pelaksanakan diperingkat dasar ekonomi negara yang menyaksikan kurangnya penglibatan sektor swasta bagi sama-sama berusaha ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020? Apakah perkara yang tidak kena sehingga menyebabkan kadar pertumbuhan negara yang pesat pada pertengahan dekad 1990an pada kadar 8-12% setahun kini menjadi lesu dan seakan-akan bergerak sangat perlahan pada kadar 5% setahun? Mungkin juga kini rakyat Malaysia telah menjadi terlalu selesa dengan kemewahan harian hingga menyebabkan mereka tidak lagi mempunyai daya saing yang tinggi serta semangat juang serta tekad pencapaian seperti pada awal dekad 1990an?

2.         Kita akui pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap 8-12% yang dicapai dalam dekad 1990an seakan memberi harapan tinggi bahawa Malaysia mampu menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Namun, dengan perubahan iklim sosio-ekonomi dunia pada pertengahan dekad 1990an yang menyaksikan Kesatuan Soviet dan negara-negara blok Komunis mula membuka pasaran masing-masing ke arah yang lebih terbuka dan bebas, Malaysia mula mendapat tekanan persaingan yang sengit daripada negara-negara membangun yang lain di Asia Tenggara seperti Vietnam, Kemboja dan Indonesia. Manakala negara Thailand yang bersikap kekal mengamalkan sistem pasaran terbuka melalui pelbagai insentif pelaburan yang mesra perniagaan dengan disokong oleh kadar buruh yang murah telah menyebabkan Malaysia menjadi semakin kurang kompetetif kepada pelaburan langsung asing (foreign direct investment). Melihat kepada perubahan iklim ekonomi dunia ini, negara perlu berubah untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi melalui transformasi pasaran dan adaptasi inflasi yang teratur daripada sebuah negara yang menawarkan tenaga buruh yang murah kepada negara Knowledge-economy (K-ekonomi) serta sebagai platform menarik untuk pelaburan asing portfolio (Foreign Direct Portfolio – FDP) terutamanya kepada syarikat-syarikat Fortune 500 dunia.
  
3.         Malaysia masih mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah destinasi pelaburan asing yang menarik khususnya dalam industri pembuatan dan sebagai destinasi baru pelaburan asing portfolio iaitu pusat operasi syarikat-syarikat Fortune 500 dunia. Justeru tidak hairanlah sehingga tahun 2009, eksport pembuatan negara menyumbang kepada 6% KDNK negara (dengan jumlah sebanyak 41% eksport total) dan mencipta lebih 520,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, adalah penting bagi negara untuk mentransformasikan polisi, struktur pasaran serta standard layanan terhadap pelabur dan rakan kongsi luar supaya Malaysia menjadi sebuah destinasi pelaburan asing portfolio (FDP) yang lebih menarik daripada mana-mana negara di Asia Tenggara. Justeru, tindakan kerajaan untuk menyenaraikan FELDA di dalam Bursa Malaysia melalui Felda Global Ventures Holdings (FGVH) adalah sebuah pendekatan transformasi ekonomi yang segar dan harus dipuji kerana tindakan ini bukan sahaja membawa FELDA keluar dari kepompong pemikiran hanya dalam ruang linkup sempit domestik perusahaan komoditi kelapa sawit sahaja malah ke arah sebagai pemain global utama dunia di dalam industri hiliran termasuk kepada pelaburan lain seperti bidang komunikasi, infrastruktur atau pemborong dan peruncitan. Tindakan penyenaraian ini juga secara tidak langsung akan mengelakkan kekayaan FELDA daripada disalah guna untuk kepentingan individu tertentu serta menggalakkan pengurusan kekayaan dengan lebih telus dan accountable. Justeru, langkah penyenaraian ini akan mencipta satu suasana baru pasaran pelaburan di Malaysia yang perlu dicontohi oleh pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah Kementerian Pertahanan, dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang lain dibawah Khazanah Nasional. Suasana pasaran yang mesra pelabur ini adalah penting kerana kadar aliran wang asing bukan sahaja mencipta suasana persaingan yang sihat serta membawa masuk kepakaran ke dalam pasaran domestik tetapi juga meningkatkan kadar eksport barangan Malaysia ke luar negara di samping mendekatkan jurang kadar nilai tukaran wang asing antara Malaysia dan negara pengimport.

4.         Bagi mencipta sebuah negara berpendapatan tinggi, pembuat dasar ekonomi di Malaysia perlu menyemak semula beberapa indikator penunjuk prestasi ekonomi secara kualitatif khususnya seperti indeks pengkali gini (gini coefficient) dan kadar pendapatan garis kemiskinan. Semakan ini adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul antara good feeling factor hasil daripada perbelanjaan yang dibuat daripada pihak Kerajaan bagi mencipta permintaan domestik daripada situasi ekonomi sebenar pasaran di Malaysia yang dijanakan oleh pihak swasta. Ini adalah bagi mempersediakan rakyat Malaysia kepada sebarang situasi krisis yang mungkin timbul pada masa hadapan contohnya seperti krisis makanan, krisis tenaga, impak krisis ekonomi di Eropah dan lain-lain perubahan yang boleh menyumbang kepada mengurangkan kuasa beli rakyat Malaysia. Adalah penting bagi Malaysia untuk mempunyai kerangka ekonomi utama (fundamental economic framework) yang utuh dan resilien terhadap kesan krisis dari luar. Ini adalah penting kerana sistem pasaran terbuka adalah sentiasa berhubung kait dan receptive terhadap perubahan sekeliling. Penunjuk angkali gini di Malaysia untuk tahun 2011 adalah pada tahap yang lemah iaitu pada kadar 0.4 (0 bererti tiada jurang pendapatan dan 1 bererti wujudnya jurang pendapatan mutlak) dan situasi ini mencerminkan bahawa masih wujud golongan miskin tegar yang mempunyai jarak pendapatan luas dengan golongan kaya di Malaysia. Bagi mencapai objektif negara berpendapatan tinggi, negara perlu mempunyai benchmark jelas menjelang tahun 2020 dengan mencontohi negara maju yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan dengan mencapai indeks pengkali gini pada kadar 0.28-0.30. Objektif ini dapat dicapai dengan mempelbagaikan peluang mencipta kekayaan dan pekerjaan bagi rakyat Malaysia membaiki taraf hidup mereka khususnya berkaitan industri yang dapat mencipta peluang pekerjaan un-orthodox K-ekonomi seperti bidang perkhidmatan kesihatan, pemborongan dan peruncitan (termasuk pemasaran secara maya), perkhidmatan unik seperti pelancongan, industri kreatif, komunikasi dan multimedia yang semakin mendapat permintaan di pasaran global. Sebagai contoh computer generated images (cgi) produk Hollywood terbaru Snow White and the Huntsman yang dibuat di Cyberjaya sedikit sebanyak mampu mengembangkan bakat rakyat Malaysia di dalam industri perfileman global dan meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi FDP (portfolio-intellectual property) yang sangat menarik di dunia.

5.         Bagi mencipta masyarakat berpendapatan tinggi di Malaysia, polisi ekonomi negara juga perlu bersifat dinamik dan berubah mengikut peredaran semasa. Sebagai contoh, satu semakan secara jelas perlu dibuat bagi melihat kuasa beli masyarakat di beberapa lokasi di Malaysia seperti kawasan pinggir bandar dan pendalaman. Diakui bahawa masih terdapat golongan isirumah yang berpendapatan dibawah paras garis kemiskinan iaitu RM400 sebulan serta golongan ini tidak mempunyai kemahiran tinggi bagi mendapatkan pekerjaan yang bersifat K-ekonomi. Namun jika usaha untuk meningkatkan kadar pendapatan golongan ini tidak disokong dengan polisi ekonomi yang tepat, pasti golongan ini akan kekal berada di bawah paras kemiskinan menjelang tahun 2020 tanpa sebarang peluang baru untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini terdapat perubahan polisi di peringkat buruh yang tidak membantu menarik pelaburan asing ke Malaysia bagi mencipta peluang pekerjaan kepada golongan ini. Paksaan ke atas pihak swasta untuk melaksanakan dasar gaji minimum akan menyebabkan negara menjadi kurang kompetitif di dalam menawarkan tenaga buruh yang progresif kepada pelabur asing. Walaupun dasar gaji minimum diperkenalkan bertujuan untuk membela kebajikan golongan pekerja di Malaysia, namun dasar ini tidak banyak membantu kepada menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi. Kita akui bahawa rakyat Malaysia mudah tertarik dengan skim mudah untuk memperolehi kekayaan dan kesenangan hidup, namun dasar gaji minimum yang diperkenalkan ini tidak melihat dari sudut holistik pengembangan evolusi pekerjaan sebagai satu komoditi yang berubah-ubah dan boleh diperdagangankan, dan hanya melihat dari sudut tanggung jawab sosial sektor swasta dan Kerajaan.

6.         Umum mengetahui bahawa sektor swasta beroperasi adalah bertujuan bagi mendapatkan keuntungan dan mengejar kepentingan individu/ pemilik. Justeru, dengan kemakmuran sesebuah perusahaan swasta, masyarakat sekitar juga dapat menumpang kekayaan dan juga kemakmuran yang diperolehi melalui cukai korporat, tarif permintaan bahan mentah dan pengembangan industri hiliran yang tumbuh bagi memenuhi permintaan sesuatu perusahaan ini. Keadaan ini dapat dilihat pada transisi perubahan jenis pekerjaan di mana pernah suatu ketika di Malaysia terdapat jenis pekerjaan yang bersifat rencam/ umum seperti penjaga lif dan juga jurutaip. Namun dengan perubahan sosio-ekonomi dunia dan pengembangan teknologi global, dan juga pengenalan kepada aspek pengurusan era baru seperti multitasking dan transisi keperluan pekerjaan yang lebih kompleks dan khusus berdasarkan kepada kemahiran tinggi, pekerjaan umum seperti penjaga lif dan jurutaip ini telah dihapuskan sama sekali seperti komoditi yang tidak lagi mendapat permintaan. Terdapat juga pengurangan kepada tenaga kerja pengawal keselamatan yang hanya perlu menyelia video CCTV daripada berada pada sesuatu tempat secara berpanjangan. Jika pendekatan dasar gaji minimum diteruskan, aspek pekerjaan sebagai satu komoditi tidak akan terlaksana dan akan menjadi lebih kepada unsur tanggung jawab sosial sektor swasta/ Kerajaan dan menyebabkan mereka rugi kerana terpaksa membuat tanggung jawab sosial bukan berdasarkan kepada produktiviti pekerja. Masalah ini seterusnya akan menyebabkan negara menjadi rugi kerana tenaga kerja tidak digemblingkan kearah yang lebih produktif sesuai dengan perubahan keperluan semasa ekonomi dan perdagangan dunia yang semakin bersifat khusus berdasarkan kepada kepakaran tertentu.

7.         Mungkin situasi pasaran di Malaysia masih terlalu muda untuk rakyatnya memahami aspek kelangsungan pasaran berdasarkan kepada kepentingan tertentu individu yang memiliki sesebuah perusahaan tersebut. Oleh yang demikian, aspek perbelanjaan yang secara berterusan dibuat oleh Kerajaan untuk mencipta permintaan domestik di dalam negara tidak akan dapat menampung aliran tunai di dalam pasaran domestik dalam tempoh yang lama. Kekayaan sesebuah negara akan hanya bergantung kepada kejayaan sesebuah perusahaan yang dibuat oleh sektor swasta kerana hanya mereka mempunyai kepentingan untuk melihat perusahaan tersebut berjaya dan mencapai keuntungan. Pendekatan sosialis dan populis di dalam sesebuah negara akan memberikan impak negatif kepada kelangsungan pasaran tersebut untuk jangka masa panjang. Justeru contoh paling mudah yang dapat dilihat adalah pada psikologi isirumah dibawah paras kemiskinan di Malaysia yang mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Umum mengetahui bahawa JKM banyak membantu golongan yang berada di bawah garis kemiskinan untuk mengharungi kehidupan sekiranya mereka ini memenuhi kriteria miskin tegar melalui bantuan sara hidup pada jumlah dan kadar tertentu setiap bulan. Namun jika ditanya kepada pegawai-pegawai JKM yang berkhidmat, mereka pasti akan menceritakan bagaimana kumpulan miskin tegar ini akan sentiasa menunggu dan meminta apakah lagi jenis bantuan yang boleh dihulurkan oleh Kerajaan kepada mereka setiap hari dan bukan berusaha ke arah membaiki taraf hidup melalui pengembangan perniagaan sendiri. Justeru, sekiranya pendekatan sosialisme ini diteruskan secara berterusan tanpa menilai semula kejayaan di peringkat kumpulan sasaran, objektif pencapaian menjadikan rakyat Malaysia sebagai kumpulan yang berpendapatan tinggi tidak akan berjaya.

8.         Kita akui bahawa perubahan harga minyak di pasaran antarabangsa melalui peningkatan permintaan daripada negara-negara yang sedang pesat membangun seperti China, India dan Russia pada awal dekad 2000 daripada USD30 setong kepada USD100 setong juga banyak memberikan kesan kepada pengurusan kewangan isi rumah di Malaysia bagi membina sebuah kehidupan yang selesa dan mewah. Banyak dasar dan polisi ekonomi diperkenalkan oleh Kerajaan selepas peningkatan harga bahan api dunia pada awal dekad 2000 bertujuan melindungi kemewahan rakyat supaya kekal mempunyai kuasa beli seperti dekad 1990an. Keadaan ini wujud pada harga yang sangat tinggi iaitu melalui pendekatan memperkenalkan pelbagai bentuk subsidi kepada rakyat bagi menyerap peningkatan mendadak harga komoditi dunia. Ciri-ciri sebuah masyarakat berpendapatan tinggi adalah dimana indikator kemiskinan yang dinilai bukan lagi berbentuk kepada kemiskinan tegar (hardcore poverty), namun lebih kepada berbentuk kemiskinan relatif (relative poverty). Walaupun pelbagai subsidi diperkenalkan bagi menyerap kesan krisis bahan api, namun pengenalan subsidi ini hanya memberikan kesan jangka pendek iaitu sehingga pelarasan kuasa beli pengguna dibuat oleh pengguna sendiri berdasarkan kepada pendapatan isirumah dan perbelanjaan bulanan mereka. Pemberian subsidi secara tidak terkawal ini akan hanya menyebabkan berlakunya situasi market numb pada pengguna domestik di Malaysia di mana masyarakat sentiasa mengambil mudah terhadap harga sesuatu barangan tanpa peningkatan kesedaran pengguna yang perlu wujud dalam aspek perbelanjaan bulanan mereka tidak seperti pada ciri-ciri masyarakat di negara maju. Sebagai contoh, di Malaysia masyarakat tidak mengambil endah perubahan harga bahan api dunia dan juga harga jualan bahan api tersebut pada harga apungan yang akan memberikan kesan kepada keseluruhan aspek perbelanjaan bulanan seperti perbelanjaan pengangkutan, bil-bil utiliti dan lain-lain. Situasi ini amat berbeza sekali dengan masyarakat di negara Thailand yang lebih resilien terhadap perubahan kos bahan api dunia. Ini dapat dilihat di setiap stesen minyak, harga bahan api sentiasa di paparkan kepada pengguna secara tidak langsung menggalakkan persaingan yang sihat dari kalangan syarikat bahan api untuk menarik pelanggan pada harga yang lebih kompetitif dan rakyat itu sendiri mempunyai kesedaran pengguna untuk memilih harga yang paling menarik. Masyarakat di negara Thailand juga lebih bersifat dinamik dan progresif serta tidak terlalu mengharapkan bantuan Kerajaan apabila berlaku krisis bahan api di negara tersebut. Situasi pasaran juga lebih bersifat vibrant dan tidak bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan Kerajaan bagi mencipta permintaan domestik. Oleh sebab itu, syarikat-syarikat gergasi automotif seperti Honda dan Toyota lebih berminat untuk melabur di negara tersebut berbanding di Malaysia.

9.         Contoh kedua yang paling jelas dilihat adalah pada kumpulan nelayan di Malaysia yang pada ketika ini kekal mengharapkan subsidi diesel daripada pihak Kerajaan untuk terus beroperasi. Sekiranya berlaku situasi krisis ekonomi/ bahan api naik secara mendadak dan memerlukan penstrukturan semula subsidi kepada golongan nelayan, pasti golongan nelayan di Malaysia tidak mampu untuk turun ke laut menjalankan pekerjaan menangkap ikan. Seakan-akan dilihat, subsidi yang diberikan ini seumpama gaji bulanan kepada mereka daripada pihak Kerajaan untuk memastikan kelangsungan pekerjaan mereka ini diteruskan dan bukan kepada aspek memenuhi permintaan sumber protein rakyat Malaysia. Justeru tidak hairanlah kita melihat daripada jumlah RM30,000 kos bahan api keseluruhan yang memerlukan mereka mengoperasikan bot laut dalam selama dua minggu, separuh daripada kos tersebut adalah subsidi daripada Kerajaan. Segelintir daripada nelayan yang tidak bertanggung jawab lebih selesa memilih menjual minyak subsidi di tengah lautan bersama barter trade ikan dari nelayan asing dan masih mampu untuk mencapai keuntungan serta tidak perlu bergadai nyawa merempuh ombak setinggi bangunan di tengah lautan. Pengajaran daripada kisah ini adalah manusia akan tetap mencari kaedah paling mudah untuk mengaut keuntungan walaupun kaedah tersebut adalah salah. Pembuat dasar sebagai social scientist perlu menstrukturkan semula subsidi ini agar masalah ketirisan yang berlaku dan kelangsungan pekerjaan nelayan ini dapat bertahan walaupun berdepan dengan situasi krisis. Inilah ciri-ciri masyarakat berpendapatan tinggi yang diimpikan berdasarkan kepada cabaran ke-9 Wawasan 2020 iaitu mencipta masyarakat yang berdaya saing tinggi, resilien dan dinamik.

10.         Mungkin penjanaan usaha mencipta penduduk berpendapatan tinggi tidak akan tercapai hanya jika dasar ekonomi negara hanya tertumpu kepada aspek pusingan modal/ market volume dari kalangan 26 juta rakyat Malaysia. Jumlah ini mungkin terlalu kecil untuk mencipta peluang pekerjaan serta sumber kekayaan baru bagi ekonomi berdaya saing tinggi oleh pihak swasta di Malaysia. Justeru, di peringkat ASEAN, Kerajaan perlu berusaha membuka tarif dan berunding agar barrier to entry kepada barangan dari Malaysia dapat diberikan pada kadar nominal. Bagi memajukan industri agro-pertanian di Malaysia, pasaran ASEAN adalah lebih relevan dengan jumlah market volume berpopulasi 600 juta penduduk. Penawaran produk agro-pertanian dari Malaysia tidak harus dilihat pada produk mentah semata-mata malah perlu lebih kepada produk berbentuk produk siap seperti snack food, produk yang telah diproses dan dipek serta mempunyai standard dan mutu yang tinggi. Peluang daripada market volume ASEAN ini telah dibuktikan dengan kejayaan pelan pengembangan perkhidmatan tambang murah penerbangan AirAsia yang mempunyai niche pasaran dari kalangan penduduk di Asia Tenggara. Justeru tidak hairanlah secara micro-manage Tony Fernandez kini sedang berusaha untuk memperkemaskan cengkaman AirAsia dengan membuka pusat operasi khusus di Indonesia, sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk terbesar di Asia Tenggara.

Sekian.

5 comments:

Anonymous said...

Cool story bro

yaby said...

Soalannya apakah langkah menjadikan Malaysia negara berpendapan tinggi?
A . Menambahgiatkan pelaburan
B. Meningkatkan produktiviti buruh
C. Mengukuhkan nilai matawang negara
D. Menstruktur semula kutipan cukai pendptn syt

Anonymous said...

hi.. boleh tak bagi saya contoh dasal fiskal yang meningkatkan pendapatan kerajaan dan sekaligus mengurangkan perbelanjaan kerajaan? saya dah cari lama info tentang ini, tapi semua yang saya baca agak mengelirukan...
tolong lah saya budak baru belajar....

Anonymous said...

maksud saya dasar fiskal yang telah dilaksanakan di malaysia... atau negara luar... saya tengah buat tugasan ni.. pening pening... tolong tolong......

Teddy said...

Anon,

Untuk memahami ekonomi ada banyak perkara yang perlu kita belajar dan "buang". Belajar disini dengan membuka pandangan dan paradigma pemikiran kepada sesuatu yang baru. Dan "buang" disini mengenepikan perkara-perkara emosi dan dangkal pemikiran seperti pemahaman sempit bahawa sistem kapitalis itu dicipta oleh yahudi dan bersifat jahat.

saya boleh membantu kamu dengan beberapa pandangan dan nasihat akan sumber rujukan yang sesuai. Tetapi kamu perlu banyak membaca lagi rujukan-rujukan yang bersifat konstruktif serta membuang jauh-jauh pandangan bersifat emosi seperti wujudnya sistem ekonomi islam dan lain-lain.

Dasar fisikal bermaksud perbelanjaan yang dibuat oleh sesebuah kerajaan dalam merancakkan ekonomi sesebuah negara. Dasar fiskal ini sebenarnya telah lama wujud seperti perbelanjaan dalam pelaburan industri pertahanan seperti yang dibuat oleh USA ketika peperangan sivil dalam dekat 1860-70an. Tetapi dasar fisikal yang paling penting adalah seperti yang diterangkan oleh ahli ekonomi john maynard keynes selepas USA mengalami depression dalam tahun 1930an. Selepas itu dasar ini dikenali sebagai keynesian.

Dasar fisikal membawa banyak kebaikan tetapi dalam masa yang sama juga membawa keburukan. Kebaikan yang dibawa adalah seperti meniup modal di dalam kitaran perniagaan harian ketika ekonomi sesebuah negara terlalu lembap untuk mencipta ruang pekerjaan dan inovasi produk.

Keburukan adalah jika ianya terlalu banyak digunakan, ia akan mencipta complacency di dalam pasaran dan rakyat terlalu mengharap kepada perbelanjaan kerajaan. Saya tidak dapat menerangkan secara jelas maksud ini di dalam ruangan komen ini kerana perkara ini terlalu besar untuk dibincangkan supaya kamu memahaminya. Saya mencadangkan kamu membaca buku tulisan daripada Milton Friedman, John Kenneth Galbraith ataupun yang paling utama Adam Smith.

Contoh dasar fisikal yang Malaysia laksanakan sekarang sebagai contoh projek pembinaan MRT, KLIA, Bandar Putrajaya dan semua projek-projek bersifat mega yang boleh membantu mencipta pekerjaan dan meniup modal di dalam pasaran. Bantuan BR1M juga adalah dasar fiskal perbelanjaan kerajaan. Ada baik dan buruknya.

Jika ada apa2 persoalan sila emel saya di tunteddy@gmai.com dan saya sudi membantu supaya kamu lebih memahami lagi. Perkara paling penting, buangkan pandangan dangkal bahawa sistem kapitalis itu musuh Islam atau bersifat jahat. Bukakan paradigma pemikiran.

Faces of Tun Teddy

Faces of Tun Teddy