A Tale To Tell & Remember

I'm very much inspired by the words of Thomas L. Friedman in his book "The World Is Flat" which renders about the influence of bloggers in this new age. I want to keep the highest integrity and honesty in posting my words to the world. This blog act as a testimony to my alacrity of sharing information with the borderless world. Hope we can share a high regards of veracity and chivalry with this blog because that's why it is here. So help me God!

Visit Malaysia

Visit Malaysia
Malaysia Truly Asia

Sunday, 17 November 2013

Kesinambungan Perjuangan Nasionalis Melayu di Malaysia

Oleh: Ahmad Syah Ejaz Hj Ismail

Penulis bersama pejuang bangsa Moro di Mindanao

Perjuangan Nasionalisme Melayu di Malaysia

1.         Orang-orang Melayu di Malaysia perlu insaf dan sedar betapa keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) yang lalu menunjukkan bahawa kini mereka bersendirian dalam perjuangan mengisi kemerdekaan yang diusahakan oleh nenek moyang mereka. Walaupun pahit untuk diterima namun hakikatnya perjuangan bersifat nasionalisme Melayu telah ditolak oleh kumpulan Chauvinis Cina yang berjaya mempengaruhi orang-orang Cina secara keseluruhan di Malaysia dan ini telah memberikan kesan buruk kepada hubungan Sino-Melayu pada hari ini. Kepercayaan orang-orang Melayu terhadap keikhlasan orang-orang Cina bukan sahaja telah terhakis namun juga telah memberi peringatan keras kepada pemimpin Melayu untuk tidak terlalu bersifat pemurah dalam pelaksanaan dasar outreach kepada orang-orang Cina di Malaysia.

2.         Orang Melayu juga perlu sedar bahawa tindakan dan cubaan rampasan kuasa politik yang dibuat oleh Chauvinis Cina pada PRU 13 yang lalu juga banyak dibantu oleh kumpulan Melayu liberal yang banyak mempengaruhi orang-orang Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) kononnya nasib sesebuah negara dan bangsa lebih banyak bergantung kepada perjuangan bersifat egalitarian dan kesamarataan hak tanpa mengira perbezaan ras, warna kulit dan agama. Dogma perjuangan yang cuba diterapkan di dalam pemikiran Melayu liberal yang kononnya moden dan progresif ini adalah Malaysia akan menjadi lebih maju dan berjaya sekiranya dasaraffirmative action/ DEB yang dilaksanakan selama ini dimansuhkan dan orang-orang Melayu perlu bersaing di atas platform ekonomi secara sama rata dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Betapa bodohnya Melayu liberal yang mempercayai dogma yang bersifat idealistik dari Barat ini tanpa melihat kepada latar belakang atau sejarah perjuangan pembinaan sesebuah negara yang kompleks dan multi-dimensi seperti Malaysia. Lebih malang lagi, dogma seperti ini banyak dibawa pulang oleh kebanyakan orang-orang Melayu moden yang belajar di luar negara khususnya dari negara Barat ironinya atas peluang dan bantuan biasiswa yang disediakan dari dasar affirmative action melalui pelaksanaan DEB.

3.         Amatlah merungsingkan apabila dilihat kumpulan Melayu liberal seperti ini banyak menganggotai jabatan-jabatan kerajaan, NGO-NGO dan sebagai consultant kepada Kerajaan Malaysia yang kononnya cuba memperjuangkan kesamarataan hak dan berusaha untuk menekan Kerajaan secara halus untuk memansuhkan pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan bersifat affirmative action yang mengutamakan kepentingan Melayu. Perkara seperti ini amatlah dikesali kerana kini orang Melayu sendiri berusaha untuk menggadaikan hak dan keistimewaan yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang nasionalis terdahulu sedangkan kehidupan mereka hari ini adalah lebih baik hasil dari pelaksanaan dasar affirmative action ini. Kumpulan Melayu liberal ini perlu berasa malu dengan diri mereka sendiri kerana setelah mereka menikmati hak dan keistimewaan yang disediakan oleh dasar affirmative action dan DEB, mereka kini mahu melepaskan hak itu kerana mahu dilihat moden dan pragmatik di mata orang-orang asing yang lebih suka bersorak sekiranya Melayu gagal memimpin Kerajaan di Malaysia. Sepatutnya Melayu yang berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara melalui peluang dari dasar affirmative action ini yang perlu lebih dahulu mempertahankan hak dalam memastikan anak-anak mereka dan orang-orang Melayu yang kurang bernasib baik yang tinggal di kawasan pedalaman dan kampung-kampung di serata pelusuk tanah air turut berpeluang menikmati hak yang sama yang telah mereka nikmati ini.

4.         Mungkin tulisan ini akan dianggap rasis dan cuba untuk mengapi-apikan semangat perkauman, namun ianya perlu bagi membuka mata dan menyedarkan golongan Melayu liberal dan kumpulan Chauvinis Cina betapa bahayanya usaha yang cuba mereka lakukan ini. Tulisan ini juga perlu untuk menyedarkan orang Melayu sendiri bahawa kini mereka adalah bersendirian dalam meneruskan perjuangan dan untung nasib anak-anak mereka di bumi milik nenek moyang mereka.  

Hak Ancestral Domain Penduduk Asal

5.         Orang-orang Melayu perlu insaf dan sedar akan kedudukan mereka pada hari ini. Hakikatnya nasib orang-orang Melayu pada abad ke 21 adalah lebih baik dari nasib nenek moyang mereka sebelum peristiwa 13 Mei 1969. Orang Melayu tidak perlu malu dengan hak dan keistimewaan yang mereka miliki kerana hak dan keistimewaan ini adalah milik mereka dan keturunan mereka yang telah diperjuangkan oleh nenek moyang mereka dalam perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Hak ini yang dikenali sebagai ancestral domain kepada penduduk asal ini adalah diiktiraf oleh mana-mana negara di seluruh dunia serta banyak menjadi punca konflik dalaman dan perjuangan bersenjata menuntut hak seperti yang berlaku di Kosovo, Albania, Bosnia Herzegovina, Sudan, Uganda, Afrika Selatan, Ireland Utara, Mindanao-Filipina, Timor Leste, Chehnya, Palestine dan Sri Langka.

6.         Perjuangan orang-orang Melayu dalam agenda pembangunan negara untuk meningkatkan taraf hidup bangsa Melayu masih panjang dan berliku. Masih banyak lagi pencapaian sosio-ekonomi orang Melayu yang masih belum tercapai walaupun banyak tohmahan yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan Chauvinis Cina dan Melayu liberal kononnya agenda 30% kek ekonomi orang Melayu dalam DEB sudah tercapai sejak 1997 justeru pelaksanaan dasaraffirmative action/ DEB wajar dimansuhkan. Bukti yang paling jelas adalah melalui senarai individu terkaya di Malaysia yang dikeluarkan oleh Majalah Forbes pada Februari 2013, hanya 9 orang Melayu yang disenaraikan daripada 50 orang yang disenaraikan dan kebanyakkan individu terkaya di Malaysia ini adalah dari kalangan orang Cina. Ini menunjukkan dasar affirmative action yang dilaksanakan selama ini bersifat inklusif dan tidak menindas peluang orang bukan Melayu khususnya orang-orang Cina di Malaysia untuk mencari kekayaan. Malah dasar ini memberikan lebih peluang kepada orang-orang bukan Melayu dalam pelbagai bidang perniagaan tanpa mengambil hak atau merampas kekayaan mereka untuk diberikan kepada orang-orang Melayu. Ekonomi negara juga mencatatkan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK) keseluruhan sebanyak 5-6% setahun sedangkan banyak negara liberal diseluruh dunia tidak mampu mencapai kadar pertumbuhan positif sebanyak ini dan ada yang mencatatkan pertumbuhan negatif. Ini menunjukkan dasar affirmative action tidak memberikan sebarang kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara malah mencipta keyakinan di kalangan pelabur yang ingin melabur di Malaysia dengan pernyataan jelas bahawa pelaksanaan dasar ekonomi di Malaysia adalah bersifat menyeluruh melalui penyusunan semula masyarakat dan memerangi kemiskinan melalui penciptaan peluang ekonomi yang adil di antara golongan kaya dan miskin. Jawatan-jawatan utama sektor awam kini seperti jawatan Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, Pengarah-pengarah Kanan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pegawai-pegawai kanan Polis dan Tentera dan peneraju badan-badan pemikir kerajaan juga banyak diisi oleh orang bukan Melayu khususnya orang-orang Cina dan ini menunjukkan dasar affirmative action tidak bersifat diskriminasi kaum dan lebih bersifat menyeluruh.

Pengalaman Buruk Bangsa Moro Menuntut Hak Ancestral Domain di Mindanao

7.         Orang Melayu perlu insaf akan nasib yang menimpa bangsa Moro di bumi Mindanao yang terpaksa mengangkat senjata bagi menuntut hak ancestral domain mereka. Perjuangan orang-orang Moro kini bersifat nasionalis seakan sama seperti perjuangan parti UMNO pada waktu ianya menuntut kemerdekaan daripada British awal tahun 1950an dahulu. Namun perbezaannya perjuangan nasionalis orang-orang Moro ini datang selepas negara Filipina ditubuhkan dan telah wujud perlembagaan negara Filipina yang bersifat lebih pro-Kristian Katolik. Situasi ini telah menidakkan hak orang-orang Moro untuk meneruskan tradisi hidup mereka melalui pemilikan hak tanah dan perkongsian sumber kekayaan hasil bumi milik nenek moyang mereka di antara mereka. Nasib orang-orang Moro bertambah malang kerana tanah milik mereka telah dirampas oleh peneroka-peneroka Kristian Katolik yang datang dari utara Filipina dan peneroka ini dibantu oleh regim-regim pentadbiran terdahulu khususnya pada zaman Ferdinand Marcos dalam memperolehi geran tanah secara legal. Disebabkan oleh orang-orang Moro yang tidak berpelajaran dan buta huruf, penindasan diteruskan melalui pentadbiran dan dasar-dasar Kerajaan Filipina yang melaksanakan diskriminasi kaum dan agama bukan sahaja melalui rampasan tanah namun juga orang-orang Moro ini tidak diberikan peluang untuk berkhidmat di dalam jentera pentadbiran Kerajaan.

8.         Persaingan ekonomi secara bebas juga tidak memberi peluang yang adil kepada orang-orang Moro untuk bersaing di bidang perniagaan kerana mereka miskin dan tidak mempunyai modal serta tiada diberikan sebarang bantuan lonjakan permulaan perniagaan oleh sebarang dasar ekonomi Kerajaan Filipina. Demokrasi mutlak juga tidak menjanjikan kebahagiaan kepada orang-orang Moro kerana mereka kini adalah golongan minoriti di Mindanao dan mereka tidak mempunyai kuasa politik di tanah air mereka sendiri. Pendek kata, orang-orang Islam Moro ditindas dalam pelbagai bidang samada ekonomi, sosial mahupun politik di bumi milik nenek moyang mereka. Ini menyebabkan orang-orang Moro tidak mempunyai pilihan lain selain daripada bersatu dan menentang Kerajaan Filipina secara bersenjata. Pengorbanan dan jihad yang dilakukan ini adalah benar secara moral dalam perjuangan menuntut hak mereka. Masakan mereka hanya menjadi gelandangan di negeri sendiri dan hanya menjadi pemerhati tatakala orang asing menikmati kekayaan dari hasil tanah milik nenek moyang mereka.

9.         Sehingga kini nasib orang-orang Moro di Mindanao masih buruk dengan mencatatkan sebagai kumpulan orang-orang miskin yang terbesar. Mereka kini hanya mampu melihat tanah milik nenek moyang mereka diusahakan oleh peneroka-peneroka yang merampas tanah mereka. Betapa sedih nasib orang-orang Moro di Mindanao apabila segala aspek kehidupan mereka adalah ketinggalan dan daif termasuk juga aspek fardhu kifayah apabila mereka tidak mampu mengebumikan ahli keluarga dan sanak saudara yang meninggal dunia di tanah perkuburan Islam yang sesuai dan hanya menyempurnakan jenazah di halaman rumah masing-masing kerana tidak mempunyai wang bagi memperolehi tanah kubur secara kariah. Situasi ini berbeza dengan orang Kristian Katolik di Mindanao yang mampu mengebumikan ahli keluarga mereka di tanah perkuburan Kristian yang disediakan oleh Kerajaan Tempatan (Local Government Unit) serta banyak dibantu secara kewangan oleh NGO-NGO Kristian dari hasil wang yang disalurkan dari Manila. Nasib orang-orang Melayu di Malaysia lebih baik dan lebih beruntung di mana imam-imam masjid dibayar gaji dan elaun oleh Kerajaan Persekutuan dan aspek kehidupan berkaitan budaya, agama dan cara hidup orang Melayu itu dilindungi dan diberi bantuan oleh Kerajaan Malaysia kerana itu adalah hak keistimewaan orang-orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan yang digubal sebelum Malaysia merdeka. Nasib wanita Moro juga amat teruk kerana kebajikan mereka tidak dijaga dan dilindungi. Mereka juga tidak diberikan bantuan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka dan sebahagian besar daripada wanita Moro hidup di dalam kemiskinan tegar mengharapkan belas ehsan. Hampir 90% wanita Moro tidak berpelajaran tinggi berbeza dengan wanita Melayu yang menjadi majoriti hampir di kesemua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia. Nasib wanita Melayu adalah berbeza dan lebih baik berbanding wanita Moro dimana terdapat sebuah Kementerian khas di Malaysia yang membantu membela nasib wanita Melayu bukan hanya dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka malah turut menjaga kebajikan mereka dari segenap hal.

10.       Melayu liberal di Malaysia juga perlu insaf dan bersyukur, tatakala anak-anak mereka hidup mewah dan berpendidikan tinggi hasil usaha peluang yang diciptakan melalui pelaksanaan dasar affirmative action, anak-anak orang-orang Islam Moro seawal usia 15 tahun sudah diajar untuk menuntut hak ancestral domain nenek moyang mereka secara bersenjata. Betapa beruntungnya orang Melayu dilahirkan di Malaysia dan dapat menikmati hasil perjuangan pejuang nasionalis Melayu terdahulu dan betapa malangnya nasib orang-orang Moro dan anak-anak mereka kerana masa depan anak cucu mereka masih belum menentu. Hak-hak keistimewaan milik orang-orang Melayu berkaitan ancestral domain yang telah diperjuangkan oleh pejuang nasionalis Melayu di Malaysia tidak perlu diusik atau disentuh kerana ianya telah memastikan Malaysia bergerak maju selama ini. Orang-orang Cina di Malaysia juga perlu sedar bahawa formula perkongsian kekayaan melalui dasar affirmative action inilah yang memberi peluang ekonomi yang lebih baik kepada mereka berbanding nasib orang-orang Cina di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Australia yang dipaksa mengamalkan dasar acculturation masyarakat setempat. Janganlah terlalu bersifat tamak dan berkongsilah peluang mencipta kekayaan di Malaysia ini dengan orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu juga perlu insaf dan banyak muhasabah diri serta belajarlah daripada nasib orang-orang Islam Moro di Mindanao pada hari ini. Kerana jika tiada dasar affirmative action yang bersifat nasionalis ini, anda mungkin kini terpaksa tinggal di dalam hutan berjuang menuntut hak dan kebanyakkan daripada anda mungkin terpaksa menjalani hari-hari yang berlalu dengan perasaan marah, sedih dan kecewa sebagaimana orang-orang Moro pada hari ini di Mindanao.

Sekian.

No comments:

Faces of Tun Teddy

Faces of Tun Teddy